CINTA SEJATI SEORANG IBU
TERHADAP ANAK-ANAKNYA
Wanita itu sudah tua, namun
semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap
tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang
disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang
pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita
itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang
Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia
mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega
hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di
sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam,
keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan
semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya
diajar ilmu bersyair dna dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu
telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa
telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan
dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah
Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua
Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka
terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan
keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu.
Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang
bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada
putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai
anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah
dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya
kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku
tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan
saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak
pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh
Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahwasaya
kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu
ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah,
dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah
kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera
Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata,
"Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka
keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan
mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin
hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah
akmu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan
pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang
abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam
sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah
iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan
atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan
arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu
lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran
besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah
200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin
akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk
merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya,
mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah
seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku!
Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan
membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan
berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap
musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang
setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak
akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas
dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur
mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula
segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat
keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar
bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang
mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan
tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal
membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi
kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat
menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan
semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera
Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya
sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang
berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh
senjataku."
Bergelutlah keempat-empat
putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa
munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat.
Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera
Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera
berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera
Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian
lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang
menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini
digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota
Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang
menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi
merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian
kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka
mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui
syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada
7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu
juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahwa
keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu
dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah
dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah,
yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii
Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal
dengan rahmat-Nya!"
Tidak ada komentar:
Posting Komentar